Cuba kamu fikir, selama ini ada
tak cikgu bahasa Melayu, cikgu Sejarah atau cikgu-cikgu lain yang tahu kamu tu
lemah dalam mata pelajaran tu, dan nak bimbing kamu secara persendirian. Ada
tak? Tak ada kan? Tapi hari ini ada seorang cikgu ini di hadapan kamu yang
sangat mengambil berat tentang kamu dari segala segi. Cikgu sanggup luangkan
masa pagi-pagi buta untuk datang ajar kamu. Kamu tahu tak bukannya gaji cikgu
bertambah disebabkan cikgu datang ajar kamu pagi-pagi tu. Cikgu tak dapat
apa-apa pun tapi cikgu buat semua tu untuk kepentingan kamu. Kenapa kamu tak
nak bersyukur dan berusaha?
Begitulah
perkiraanku untuk dihamburkan di hadapan Nurul sekejap lagi. Begitu terlukanya
diriku dengan sikap pelajar Tingkatan Satu Jaya. Pelajar ini datang dari keluarga yang
bermasalah. Bapanya pendatang dari Thailand yang telah lama menetap di Malaysia
dan telah berpisah dengan isterinya. Dua lagi adik –beradiknya tinggal dengan
neneknya. Taraf ekonomi neneknya tidak begitu baik.
Mungkin
disebabkan latar belakang hidupnya menyebabkan aku lebih sedikit mengambil
perhatian terhadapnya. Bukan sekadar dalam pelajaran namun kehidupan
peribadinya. Tambahan pula prestasi pelajarannya sangat lemah.
Oleh
sebab itu aku memasukkannya dalam kelas tambahan bimbingan al-Quran yang aku
adakan pada awal pagi sebelum bermulanya sesi pembelajaran biasa. Malangya di luar
dugaanku dia mengelak untuk dibimbing. Setiap hari dia datang awal ke sekolah
tetapi dia sengaja tidak naik ke kelasnya sebelum loceng berbunyi supaya dia
tidak perlu mengaji.
Sudah
tentulah aku berasa amat marah dengan perbuatannya itu! Terasa sia-sia sahaja
perhatian yang aku berikan kepadanya selama ini. Aku terfikir untuk tidak
mempedulikannya lagi.
Tetapi aku tetap memujuk hati. Sabarlah, bukankah aku ni orang dewasa yang telah
banyak menelan kepahitan, dia pula dalam kalangan kanak-kanak yang belum kenal
erti kehidupan. Janganlah simpan rasa benci di dalam hati. Lagi pun kedudukan
guru ini perlu aku gunakan untuk mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pelajar,
bukannya untuk ‘menyumpah’ mereka sehingga hilang keberkatan dalam kehidupan
mereka.
Namun
belum sempat aku ingin melakukannya, datang teguran dari Allah terhadapku. Aku
telah ditakdirkan membaca tafsiran potongan ayat 263 dari surah al-Baqarah dalm
kitab tafsir Fi Zilaal al-Quran karangan Al-Syahid Sayyid Qutb. Potongan ayat
tersebut membawa bermaksud. “Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan Maha Sabar.”
Huraian bagi maksud ayat itu ialah,
“..Maha Sabar, iaitu Allah mengurniakan
rezeki kepada hamba-Nya tetapi mereka tidak bersyukur. Namun demikian Allah
tidak bertindak segera menghukum mereka dan mengambil daya utama menyeksa
mereka. Allahlah yang mengurniakan segala-galanya kepada mereka dan Dialah
mengurniakan kepada diri mereka sebelum mengurniakan sesuatu yang lain kepada
mereka. Oleh sebab itulah manusia belajar dari kesabaran Allah SWT terhadap
mereka. Oleh itu mereka seharusnya jangan gopoh melakukan sesuatu perbuatan
yang menyakiti hati dan menunjukkan kemarahan kepada orang yang mereka telah
berikan sebahagian dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka
apabila orang-orang itu menunjukkan kelakuan yang tidak menyenangkan mereka
atau tidak berterima kasih kepada mereka.”
Menitis
air mataku apabila membaca tafsiran tersebut. Aku rasakan betapa halusnya Allah
SWT menegurku dan betapa cepatnya teguran itu datang supaya aku tidak terus
tersalah langkah.
Aku
segera beristigfar memohon keampunan kepada Allah SWT kerana memandang besar
pada diri sendiri dan memandang hebat kepada jasa yang tidak seberapa, sedangkan
diriku sendiri telah hidup dengan banyak nikmat daripada-Nya, tetapi banyak
pula yang aku kufur.
Tidak
lupa pula aku mengucapkan syukur atas teguran yang halus dan mendalam daripada
Allah SWT. Terasa itulah satu lagi nikmat besar yang aku terima.
Tambahan
huraian ayat yang aku baca ialah,
“Peradaban seseorang Muslim
juga sentiasa melihat (dan mencari contoh) pada sifat-sifat Allah. Dia berusaha
mendaki anak-anak tangganya hingga dia berjaya mencapai sebahagian darinya yang
telah ditentukan kepadanya mengikut kemampuan tabiatnya.”
Aku
berdoa dan berharap supaya tidak termasuk dalam golongan tersebut.
*Setiap
manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan
ialah mereka yang bertaubat-hadis-
Cerita di atas merupakan
olahan daripada cerita dalam buku ni..
Dapatkan
cerita-cerita best dalam buku Must Read, Nota Cinta untuk Cikgu.. karya Fatimah
Bunyamin...sangat menarik..
cikgu ----> jutawan akhirat
23/6/2012
ipoh, Perak.
0 comments:
Post a Comment