Sunday, 2 October 2011

Viiya..


Zuss..putaran bola yang berpusing di tempat yang sama dalam jaring gol memang menarik jika dilihat tetapi putaran itu tidak lama kerana kekangan graviti yang menyebabkan bola itu jatuh semula. Kepuasan Viiya begitu terserlah. Dapat mempamerkan skill yang menarik dalam satu-satu game itulah yang dinanti-nantikan. Bukan senang nak melakukannya kerana ia bergantung kepada kombinasi dan situasi pemain-pemain lain. 

Pitt.. wisel ditiup menandakan tamatnya sesi latihan pada hari itu. Viiya mengatur langkah untuk keluar dari padang dan melabuhkan punggung di tepi garisan hitam yang memisahkan gelanggang dengan kawasan luar gelanggang. Diteguknya air yang berada dalam beg galas. Di capainya henset. Jam menunjukkan tepat jam 6.30 petang. Cikgu Azhan memanggil semua pemain ke arahnya untuk melakukan cooling down.
“Viiya, conduct,” arah cikgu Azhan.
“Baik pa,” jawab Viiya. Dia dan pemain-pemain lain senang memanggilnya dengan panggilan itu tanda wujudnya hubungan kekeluargaan bukan setakat coach dan player.
Cikgu Azhan mula memberi komen kepada anak didiknya. Nama Viiya turut tidak ketinggalan. Lagi pun perkara yang membuatkan hatinya girang apabila namanya itu diselitkan antara nama-nama yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. Jarang sekali cikgu Azhan memberi komen yang kurang baik. Biasalah anak emas sekolah katakan.
Setelah selesai trainning pada hari itu, semua pemain meninggalkan padang untuk merehatkan tubuh yang agak lesu setelah mengerahkan tenaga seharian dari awal pagi lagi. Masing-masing menuju ke tempat penginapan di asrama sekolah yang terpilih itu yang dijadikan sebagai pusat untuk melatihkan pemain-pemain yang mewakili negeri.   

#    #    #    #    #
Jam merapati angka 3. Viiya meraup 2 tapak tangan ke wajah mulusnya yang dibasahi air mata. Setelah selesai menyempurnakan beberapa solat sunat, dia beroleh sedikit kekuatan  walaupun kenangan-kenangan lama masih menerpa ruang fikiran walaupun ditepis sedaya mungkin. Dilihatnya sekeliling bilik, seakan-akan ada gambar Wang Shasha, iaitu atlet dari China yang memakai jersy nombor 10 menayangkan aksi-aksi bergaya menjaringkan gol walaupun sudah di turunkan. Poster-poster gergasi itulah menjadi kebanggaannya suatu ketika dahulu. Walaupun gambar tersebut kaku tetapi memek muka dan aksi mereka jelas menggerunkan penjaga gol. Semua poster-poster itu sudah pun digantikan dengan tulisan-tulisan al-Quran. Viiya melipat telekung yang tersarung sejak sejam yang lalu. Tidurnya  kembali bersambung. Tubuhnya berasa penat setelah seharian bergelumang dengan pelbagai kerja sebagai seorang mahasiswi universiti.   

#     #     #     #   #

“Along, Angah sedih sekarang. Kat sini hebat sangat cabaran. Angah  tak boleh tengok diorang. Angah sedih Long,” Viya menyuarakan isi hatinya kepada Muiz. Petang itu dia terasa ingin menangis walaupun sebelum ini dia selalu menangis apabila kejadian-kejadian yang tidak diingini terpampang di depan mata.
“Sabar Ngah, Along tahu Angah boleh. Angah kuat orangnya. Apa yang penting Angah kena terus bersabar. Allah nak uji Angah sebagai tanda Dia sayang Angah. Kan Along pernah selalu pesan, Allah tak menilai sesorang dengan hasil tetapi usaha tu Ngah”
“Kat sini Angah tengok ramai yang pakai t-shirt dengan tracksuit je pergi kelas. Semua tu macam mencabar kesabaran Angah je. Susah la nak tinggal daripada fikir semua tu. Along..” rengek Viiya lagi.
“Angah, Long faham. Tapi satu je yang Angah kena ingat, wasiat arwah atuk 2 Angah kena laksanakan. Angah kena ingat. Angah sayang arwah atuk kan. Walaupun atuk tak dapat tengok perubahan Angah, tetapi Along kena pastikan Angah melakukannya. Sabar  ye Ngah?”
Itulah perbualan yang masih diingati Viiya semasa baru merasai dunia barunya iaitu dunia UPSI. Setelah dua semesta ditinggalkannya, dia sudah pun dapat menerima kenyataan tersebut. Walaupun tidak terlalu ketara namun sekurang-kurangnya dia sentiasa mencuba. Dia mesti menerima kenyataan itu yang mana dia perlu penuhi kerana wasiat arwah atuknya yang mahu dia berubah. Arwah atuknya tidak mahu Viiya terus menjadi atlet yang aktif bersukan sebaliknya menjadi wanita yang biasa. Arwah atuknya yang memeliharanya dan Muiz selama lebih kurang lima tahun setelah abah, umi dan adiknya iaitu che Ei yang menyambut panggilan Ilahi akibat kemalangan.

#       #       #      #      #

Seperti biasa, Viiya keluar rumah untuk menuju ke perpustakaan. Dia perlu melengkapkan jadual hariannya pada hari itu dengan membuat perbincangan dengan Bisyrul Hafi seperti yang telah dijanjikan. Dia tidak pernah kenal Bisyrul Hafi tetapi dia difahamkan oleh lecture Ekonomi,  iaitu Mr. John untuk memberi tunjuk ajar kepada salah seorang student Pengajian Perniagaan untuk menguruskan beberapa projek. Pada pertemuan yang pertama itu, dia berharap agar lelaki itu boleh menerima dan memahami keadaan dirinya. Awal-awal lagi dia memasang niat dan selalu bermuhasabah bahawa dia bukanlah yang terbaik sebaliknya perkara yang bakal disampaikannya. Setelah menunggu hampir 45 minit Viya memasang niat mahu meninggalkan bilik 24 jam  di Perpustakaan Tunku Bainun itu, tiba-tiba dia disapa seorang lelaki yang agak tinggi dengan style berambut mencacak.
‘Ni ke dia?’, rungut Viiya dalam hati. Kalau cicak jatuh atas kepala tu pun boleh mati.
“Kau Siti ye?”, dalam keadaan yang teragak-agak, Bisyrul Hafi agak kaget setelah melihat seorang perempuan yang berbaju tshirt labuh dan khakis longgar. Potongan tudung di bahagian depan pun agak besar sehingga mencecah lutut.
“Ha ah”, Viiya menjawab. Dia agak geram juga kerana menteenya yang tidak menepati masa.
 ‘Eh, dia ni jangankan harap nak bagi salam, minta maaf pun tidak. Mangkuk punya lelaki. Aku yang tercongok bagai dihurung lalat kat sini tunggu kau tau tak’.
‘Kalau setakat 5 hingga 10 minit masih boleh dimaafkan tetapi kalau nak dikira nasi bukan setakat dah masak tetapi boleh jadi hangit kalau pasang api besar’. Walaubagaimana pun emosinya tidak berapi hari ini. Nasib baiklah level kesabarannya agak tinggi pada petang itu. Setinggi lelaki di hadapannya itu. Bukan dia tak pernah rasa menunggu orang dalam masa yang agak lama begitu. Perbincangan pada hari itu diteruskan walaupun masa yang dijanjikan sudah tersasar.
‘Alamak, sekali ustazah la mentor aku’
#      #      #     #     #     #

‘Ish, bengang betul la dengan mentor aku tu. Kenapa dia yang jadi mentor aku? Dah la pakai baju saiz xxl, pulak tu tak nak bagi nombor telefon, skema betul’ Bisyrul mula membayangkan perkara yang bukan-bukan. Dia mesti diketawakan kerana mendapat mentor ustazah. Walau bagaimana pun perempuan itulah yang perlu dia berhadapan setiap minggu bagi melaksanakan satu program yang menjadi kewajipan apabila berada di semester 4. Kertas-kertas kerja perlu disiapkan.
‘Mr. John memang tak patut.’rungutnya lagi. Bisyrul Hafi meneruskan langkahnya menuju ke gelanggang basketball. Wan, Shah, Hairil dan yang lain-lain sudah lama menunggunya dari tadi. Sahabat-sahabatnya tidak lagi perlu mengetahui alasan Bisyrul Hafi setelah melihat kehadirannya dengan mata yang bengkak masih tersisa.
Sorry bro, alarm henset ni tak berfungsi la”
“Suka hati kau la Pie,” jawab Hairil kemudian menyambung dengan nada yang agak tinggi,  “Eh, Siti dari mana?”
‘Siapa pulak tu’. Fikir Viiya sambil memusingkan badannya.
“Pekan”, hampir menjerit suara Viya kerana jarak mereka agak jauh.
Bisyrul Hafi terpana. Perempuan itulah mentornya. Tapi diorang kenal?
Viiya mempercepatkan langkahnya, Iman yang berada di sebelah menuruti langkahnya tanpa banyak bicara. ‘Kenapalah aku boleh tak perasan kat court tu ada orang’, omelnya dalam hati.
Setelah lenyap dari pandangan, Bisyrul Hafi segera mendapatkan kepastian
“Kau kenal ke perempuan tu?”
“Mestilah”, jawapan ringkas itu membuatkan Bisyrul Hafi tidak berpuas hati tambahan pula Hairil mula berlari-lari untuk meneruskan sesi latihan pada petang itu. Hasrat untuk mengetahui lanjut terbantut kerana semuanya agak serius membuat shooting.
Bisyrul Hafi masih mengingati peristiwa di kedai buku di KLCC. Dia sentiasa berusaha untuk mengelak daripada terserempak dengan orang yang dikenali terutamanya Shah, Wan dan Hairil kerana mereka pergi mencari beberapa buku untuk dijadikan bahan rujukan di beberapa kedai buku yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur. Tetapi mereka terlebih dahulu nampak kelibat Siti kemudian bercakap-cakap seperti orang yang lama kenal. Waktu tu Bisyrul Hafi tidak mengsyaki apa-apa. Dia hanya fikir mungkin sahabat-sahabatnya itu terlanggar Siti ketika berjalan dan sebagainya. Semuanya telah terjawab apabila melihat adegan Siti dan sahabat-sahabatnya itu di gelanggang basketball tempoh hari.      

#        #        #        #      #

Masih segar lagi ingatan Bisyrul Hafi akan nama Viiya dua tiga tahun yang lalu. Siapa yang tidak kenal Viiya? Seorang atlet yang agak terkenal di sekolah barunya itu gemar menyarung  jersi bernombor 10 dan menyukai tracksuit jenama Line 7. Memiliki rambut yang sederhana panjang yang ditoncang ke belakang dan apabila mengukir senyuman, lesung pipit sentiasa melekat di kedua-dua belah pipi menyerlahkan penampilannya. Aksinya yang begitu lincah dan mengagumkan sehinggakan layak digelar star di sekolah. Setiap langkahnya dalam gelanggang diperhatikan orang kerana setiap kali dia mendapat bola, pihak lawan akan menelan air liur. Antara aksi menarik selalu dipamerkannya ialah ketika dia membawa bola secara solo, pasti satu gol yang akan bolos. Skill yang berpusing badan ketika menjaringkan gol sangat menarik jika dilihat. Jarang sekali ada perempuan dapat melakukannya kerana ia melibatkan badan seseorang akan terbang di udara lebih lama kemudian menghempas bola ke arah ruang kosong melalui pintu gol yang berbelang itu. Selain itu juga dia suka menyempurnakan balingan penalti. Jarang sekali jika bola tersasar. Dialah juga yang menjadi kapten bagi kategori bawah 18 tahun perempuan.  Dengan memiliki aura yang tersendiri, dia tidak menafikan perasaan yang ingin menambat hati gadis yang ramai peminat di sekolah barunya itu. Namun dia sedar dirinya yang tidak layak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gadis itu.
Bisyrul Hafi seakan akan tidak percaya dengan tekaannya yang mengatakan bahawa Siti dan Viiya itu adalah orang yang sama. Dia masih lagi ragu-ragu. Jauh sangat perbezaannya. Dia teringat lagi kata-kata Wan pagi tadi.
“Siti tu Viiya la. Takkan kau dah lupa.”
“Tapi kan dulu..”
“Ha, itulah kau, tak nak ambil tahu perkembangan semasa kat tanah air sendiri.”
“Kalau kau nak tahu, itulah mentor aku. Kenapa kau tak  bagi tahu aku awal-awal Wan? Macam mana dia boleh berubah?”
“Dah tu kau yang tak nak tanya. Tapi kan dia tak suka sejarah lamanya diungkitkan”  

#         #         #         #       #
Bisyrul Hafi terasa semangat untuk berjumpa dengan mentornya pada hari itu.
Kali ini kerusi batu di tepi Pusat Islam menjadi pilihan. Dia menunggu mentornya disitu. Kebiasaannya ustazahnya itu yang menunggu lebih awal. Tetapi kali ini dia resah setelah hampir setengah jam berlalu, batang hidung pun belum muncul.
“Alamak, hari ini hari Jumaat la, macam mana boleh terlupa.”  Bisyrul baru teringat bahawa kebiasaan hari Jumaat selalu adakan discussion kat cafe library.
Dari jauh lagi Bisyrul mengukir senyuman kerang busuk.
“Dah lama you tunggu? Sorry la mentor, I terlupa kat sini hari ini.”
‘Angin tak de, ribut pun tak de tiba-tiba ber I dan ber you. Buang tabiat ke pak cik ni. Biasanya ‘ustazah’, ‘mentor’ dan kadang-kadang dia menerima nama panggilan ‘mak cik’.
Tanpa menjawab pertanyaan soalan berbasi basa itu, Viiya terus kepada topik perbincangannya pada hari itu. Sebelum Bisyrul Hafi memberitahu projek baru yang akan dipersembahkan kepadanya sebentar laginya, Viya berkesempatan untuk bertanya, “macam mana dengan presentation pagi tadi?
“Mr. John kata ok je. Dia dah terima. Jab, I nak tanya sesuatu la kat you, boleh tak?
“Apa?” Viiya mengangkat wajahnya setara dengan Bisyrul Hafi. Kebiasaannnya jarak kedudukan mereka antara satu sama lain  agak luas jurangnya.
 Jarang sekali dia bertentangan mata. Bisyrul Hafi berusaha menarik perhatian Viiya dengan senyuman yang dibuat-buat agak menggoda. Kadang-kadang dia terfikir, ‘minah ni mesti tertarik kat aku. Tak kan dia sebuah robot kot tak ada perasaan, tak pun mustahil boneka.’
“Dulu you pernah main handball kan?” mendatar suara Bisyrul Hafi. Bagi Viiya, dirasakan bergegar telinganya bagaikan ada panahan halilintar. Dia menarik nafas dalam-dalam dan berfikir sejenak,
‘Kenapalah mamat ni tanya aku dalam situasi macam ni’
Viiya diam. Dia tidak menjawab soalan yang sesat entah dari mana pucuk pangkalnya. Meneruskan kerja-kerja yang belum siap adalah lebih baik.
Seingat Bisyrul Hafi, itulah kali terakhir dia berjumpa dengan Siti. Betapa sukarnya nak menghubungi mentornya itu.
#        #         #         #        #
 “Cepat la Yang, kat luar tu dah nak terang dah. Nanti kata malulah kalau ada orang nampak, kata Bisyrul Hafi yang sudah pun lengkap bersama t-shirt dan tracksuit.
Kemudian muncul Viiya yang lengkap bersama jersy labuhnya yang tertera angka 10. Senyuman tak lekang di bibirnya.
“Wow, sama la macam dulu-dulu, makin cun pulak isteri abang ni.”
“Dah la. Jom.” Viiya ketawa kecil.
“Eh, korang berdua nak ke mana pagi-pagi buta ni? Kedai roti canai mamak pun belum buka. Tapi kalau kat kedai kak Faridah tu tak tahu lah. Mungkin dah bukak kot. Along nak kirim jugak. Tolong belikan Along roti canai pisang dua. Kuah dal, boleh?
“Apalah Along ni. Merepek je. Kitaorang nak pergi training la Long. Tak tengok ke Viiya Shasha dah ready nak terbang ke arah gol bersama Jojo Rul yang nak melompat untuk jaringkan gol.”
 Along menggelengkan kepala. Dia telah melihat garis-garis kebahagiaan di raut wajah mereka.
Bisyrul Hafi dan Viiya keluar rumah. Setelah melakukan regangan seringkas mungkin, mereka mula berlari-lari sambil melantun bola kegemaran masing-masing iaitu bola baling dan bola keranjang. Mereka juga tidak lupa berlumba lari mengikut jarak yang sesuai antara kedua-duanya. Mereka berdua tahu, amalan berlumba lari juga merupakan salah satu sukan yang di amalkan oleh Rasulullah S.A.W.
#        #       #       #      #
Sebelum Bisyrul Hafi dan Siti Thalviya disatukan dengan ikatan suci perkahwinan, pelbagai suka duka serta pahit manis yang dilalui oleh mereka sehingga berakhir dengan ikatan yang sah dan diredhai Allah S.W.T.
Walaupun masih tidak dapat melupai jiwa kesukanan, mereka tetap boleh melakukannya tetapi berlandaskan syariat yang digariskan Islam. Perkara yang penting ialah setiap manusia mesti melakukan perubahan walau sesukar mana sekalipun kerana Allah S.W.T. tidak menilai seseorang dengan hasilnya tetapi usaha yang dilakukan ke arah perubahan itu.
Tamat
Diubahsuai melalui karya asal bagi novel VERSUS-Hlovate.
Cerpen ini dihasilkan untuk menyiapkan assignment bagi kursus ASASMU-Angkatan Sasterawan Muda.(kelab&persatuan)
-Tidak berkait antara yang hidup dan yang mati. Kalau ada yang betul cuma kebetulan.
wallahualam

Reactions:

0 comments:

Post a Comment